Saturday, February 25, 2012

KISAH DARI TIMUR - Menolak Pinangan Raja

     Semasa pemerintahan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan, Di Madinah seorang ulama yang sangat warak, tawaduk, Qanaah dan khusyuk dari golongan tabi'in yang bernama Al-Musayyib dengan kata lain , kehidupannya benar-benar mencerminkan akhlak yang di tuntut dari Al-quran dan sunnah Rasul. Pekerjaan Al-Musayyib ialah mengajar agama di masjid yang berhampiran dengan rumahnya.

     Al-Musayyib mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik dan juga terkenal dengan kecerdasan otaknya disamping sangat luas pengetahuan tentang Al-Quran dan hadis kerana kerajinannya belajar. Kiranya kealiman si Ayah telah diwarisi oleh anaknya.

   Kecantikan dan kecerdasan anak gadis Al-Musayyib tidak saja terkenal di Madinah, tetapi juga tersebar sampai ke Damsyik iaitu pusat pemerintahan Islam ketika itu. Hal ini telah membuat khalifah Abdul Malik Bin Marwan tergerak hatinya untuk meminang anak Al-Musayyib yang terkenal itu untuk dikahwinkan dengan Putera Mahkotanya Al-Walid bin Abdul Malik. Baginda pun menghantar utusan ke rumah Al-Musayyib untuk meminang.

     Sesampai utusan khalifah di rumah ulama' besar itu, utusan khalifah memberitahu maksud kedatangnya. Biasanya, kalau seseorang di pinang oleh keluarga di raja, dia akan menerimanya dengan tangan yang terbuka dan penuh gembira, atas dasar kemewahan yang sedang menanti, apa lagi kalau sekiranya ditolak akan mendapat murka dari pihak Istana.

   Tetapi tidak bagi pihak Al-Musayyib yang warak ini. Walaupun kehidupannya serba sederhana, beliau tidak terpesona dengan kekayaan dan pangkat orang yang meminang anaknya. Dengan tegas dan tanpa merasa takut, Al-Musayyib menolak pinangan khalifah, kerana beliau sangat arif dan mengerti akan keadaan istana ketika itu yang tidak terlepas dari penyalahgunaan kuada dan perkara mungkar lainnya. Maka pulanglah utusan khalifah dengan harapan yang tak tertunai.

     Khalifah Abdul Malik amat murka, kerana seorang rakyatnya telah menolak penghormatan dan kemewahan yang di tawarkan. Maka Al-Musayyib di panggil ke istana untuk bersemuka dengan khalifah. Al-Musayyib tetap tidak mahu menerima pinangan putera Mahkota. Walaupun beliau telah diancam berkali-kali dengan berbagai-bagai ancaman. Itu telah terbukti adanya penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak asasi manusia di kalangan mereka.

     Akhirnya Al-Musayyib rela menerima hukuman kerana penolakannya itu. Maka beliau pun di sebat 100 kali sehingga lebam-lebam dan darah mengalir membasahi tubuhnya.

     Setelah menjalani hukuman, Al-Musayyib balik ke Madinah dengan badan yang masih sakit lagi. Salah seorang muridnya yang bernama Abdullah bin Abi Wadi'ah datang menziarahi Tuan gurunya yang baru balik dari menjalani hukuman itu. Al-Musayyib mengetahui bahawa muridnya itu baru saja kematian isteri. Beliau juga tahu Abdullah seorang yang miskin harta tetapi kaya budi pekerti, Ilmu pengetahuan agamanya luas dan memiliki sifat-sifat terpuji.

     "Mengapa anakanda tidak kahwin lagi?" - tanya Al-Musayyib kepada Abdullah dengan tiba-tiba.

     "Semoga Allah merahmati mu wahai tuan guru, siapa lah yang sudi berkahwin dengan saya,
      sedangkan saya tidak punyai lebih dari 2 atau 3 dirham sahaja?" - jawab Abdullah.

     "Aku akan kahwinkan engkau dengan puteriku" - kata Al-Musayyib

     Abdullah tidak percaya akan kata tuan gurunya itu kerana tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan seorang isteri cantik, pandai dan menjadi pilihan Putera Mahkota pula. Tapi dia yakin bahawa tuan gurunya tidak bergurau.

     "Betul tuan guru?" - tanya Abdullah

     "Ya...betul" - Jawab Al-Musayyib

     Abdullah pun dinikahkan dengan anak Al-Musayyib ....

     Demikianlah Al-Musayyib telah menolak pinangan seorang khalifah yang bergelumang dengan harta kekayaan tetapi tidak taat pada agama. Sebaliknya dia telah mengahwinkan puterinya dengan seorang yang miskin hidupnya tetapi mewarisi ciri-ciri ketaqwaan terhadap Allah S.W.T

     Berpeluh Abdullah bin Abi Wadiah kerana tidak dapat mengawal perasaan terkejut,terharu dan gembiranya atas keputusan tuan gurunya itu. Kemudian dia mohon diri untuk balik kerumahnya. Di sepanjang perjalanan, dia tidak putus-putus berfikir bagaimana cara akan mengahadapi isteri barunya itu.

     Sesampai di rumah, Abdullah mempersiapkan sesuatu untuk berbuka puasa, kemudian dia pun bersembahyang maghrib. Apabila sinar merah di sebelah barat telah lenyap dan bumi mulai gelap, seorang mengucapkan salam dari luar rumah. Abdullah menjawab dan membuka pintu, alangkah terperanjatnya Abdullah kerana orang yang datang di kegelapan malam itu adalah Al-Musayyib tuan gurunya.

     "Ya Abu Muhammab, mengapa tuan tidak mengutus orang saja memanggil saya agar
      saya datang ke rumah tuan guru?" - tanya Abdullah

     Al Musayyib menjawab - "Kau seorang duda anakku , lalu aku kahwinkan. Aku tidak suka
      melihat dan membiarkan engkau bermalam dan tidur keseorangan. Aku datang ke sini untuk
      menghantarkan puteriku yang telah kau nikahi itu. Itulah Isterimu".

     Al-Musayyib menyerahkan puterinya yang cantik itu kepada Abdullah, Gadis itu tertunduk malu dengan wajah kemerah-merahan. Setelah mendoakan semoga pasangan itu mendapat redha dan barakah dari Allah s.w.t, beliau pun balik. Beliau gembira kerana puterinya telah selamat diserahkan kepada lelaki yang soleh dan bertaqwa walaupun miskin harta.

Sekian.....

Rasulullah S.A.W bersabda...

" Apabila datang kepadamu orang yang kamu suka agamanya dan budi pekertinya, maka nikahkan lah dia. Kalau tidak, nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan yang besar"

Wallahualam....

Friday, February 24, 2012

KISAH TIMUR TENGAH - NENEK TUA & KHALIFAH

     Pada suatu hari, seorang lelaki yang tidak dikenali telah meniarahi sebuah rumah buruk yang terletak di luar bandar. Lelaki itu memerhatikan keadaan sekeliling rumah itu dan mendapati penghuni rumah itu ialah seorang perempuan tua. Beliau memberi salam dan meminta izin masuk ke rumah. Dengan senang hati tuan rumah tersebut mempersilanya masuk.

     "Apa khabar nek?" - tanya lelaki itu...
    
     "Alhamdulillah, sihat-sihat saja nak.." - jawab tuan rumah itu

     "Adakah nenek tau tentang hal Amirul Mukminin?" - tanya lelaki itu lagi.

     "Semoga Allah s.w.t tidak memberikan kebaikan kepada Amirul Mukminin" - Jawab tuan rumah
      tersebut

     "Kenapa nenek cakap macam tu?"  - Tanya lelaki itu terperanjat.

     "Apa tidaknya, sejak beliau menjadi khalifah, tak pernah pun beliau datang melawat kawasan
      ini. Jauh sekali dari memberikan apa-apa bantuan kebajikan " - Jawab tuan rumah tersebut.

     "Mungkin khalifah tidak mengetahui keadaan nenek yang tinggal jauh dari bandar" - Jelas lelaki
      itu.

     "Mana boleh macam tu? Sepatutnya sebagai seorang pemerintah sebuah negara, beliau mesti
      tahu keadaan rakyatnya, walaupun dimana rakyatnya tinggal" - bangkang tuan rumah tersebut.


     Lelaki itu tertunduk dan termenung untuk seketika, memikirkan keterangan yang diberi oleh tuan rumah itu.

     "Sebenarnya saya kasihan kepada Amirul Mukminin yang telah menzalimi nenek begitu.
      Jadi mahukah nenek menjual kezaliman Amirul Mukminin itu kepada saya?" - kata lelaki itu

     "Eh!...engkau jangan cuba memperli aku yang sudah tua ni pula" - kata tuan rumah itu.


     "Betul ni nek! Saya bukannya nak mempermain-mainkan nenek pula. Apa kata kalau saya
      bagi kepada nenek 20 dinar untuk menebus kezaliman Amirul Mukminin itu?" - Jelas lelaki itu.

     "Kalau engkau betul-betul ikhlas dan jujur, aku ucapkan terima kasih sajalah dan aku memaafkan
      Amirul Mukminin" - Jelas tuan rumah tersebut.

     Selepas lelaki itu menyerahkan 20 dinar kepada tuan rumah tersebut, tiba-tiba datang 2 orang lelaki ke rumah tersebut, lalu memberi salam.


     "Assalamualaikum, ya Amirul Mukminin" - Jawab lelaki yang bersama tuan rumah tersebut.

     Terkejut besar tuan rumah tersebut bila mengetahui bahawa yang menjadi tetamu dari tadi adalah Amirul Mukminin(Saidina Umar Al-Khattab).

     "Maafkan saya wahai Amirul Mukminin. Saya telah memaki hamun Amirul Mukminin di hadapan Amirul
      Mukminin sendiri. Maafkanlah wahai Amirul Mukminin,di atas kelancangan mulut saya" - Kata Tuan
      rumah tersebut sambil menangis.

     "Nenek tidak bersalah apa-apa, jadi tak perlulah menangis, jadi saya berdoa semoga Allah tetap
      merestui nenek" - Kata Amirul mukminin kepada tuan rumah tersebut.

Hurmmm....ada lagi ke pemerintah yg bersifat rendah diri macam Amirul Mukminin di zaman ni??


wallahualam...